KUALA LUMPUR 11
Dis. - Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran
baharu menggantikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, yang tamat kontrak pada Sabtu
lepas (7 Disember).
Sebelum ke
pelantikan baharu yang berkuat kuasa 8 Disember itu, Khair adalah Timbalan
Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Perguruan).
Ketua Setiausaha
Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan
itu dibuat berdasarkan ciri kepimpinan, kelayakan, pengalaman dan kompetensi
yang dimiliki Khair dalam bidang pengurusan serta pembangunan pendidikan.
"Saya
percaya ciri-ciri yang dimiliki Khair akan membolehkan beliau menerajui
kepimpinan dan melaksanakan tugas Ketua Pengarah Pelajaran dengan cekap, telus
dan berkesan untuk mencapai matlamat pendidikan negara," katanya.
Ali turut
merakamkan penghargaan kerajaan terhadap segala sumbangan dan khidmat bakti Abd
Ghafar sepanjang beliau memegang jawatan itu.
Khair, 57,
merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Teknikal dari
Universiti Manchester, United Kingdom; Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam dari
Universiti Teknologi Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda
Kejuruteraan Awam dari Institut Teknologi Bolton, Amerika Syarikat.
Khair, yang
berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 30 tahun, dilantik sebagai Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah pada 1 Ogos 1982.
Sepanjang
perkhidmatannya, Khair memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan
Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Pengarah
Bahagian Pendidikan Guru, Pengarah Institut Aminuddin Baki dan Pengarah
Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. - BERNAMA